SOALAN LAZIM

Berikut adalah soalan-soalan yang sering diajukan oleh pengunjung Laman Web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Perak. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lain, sila hubungi kami di talian 05-2540615 untuk bantuan atau emel kami di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

1. Bagaimanakah caranya untuk saya memohon jawatan melalui SPA Negeri Perak?

Permohonan jawatan adalah melalui sistem SPA Malaysia atau lebih dikenali sebagai SPA9. Syarat kelayakan boleh disemak di portal SPA Malaysia dan di SPA Negeri Perak apabila terdapat iklan yang masih aktif.

 

2.  Adakah iklan kekosongan di Perkhidmatan Awam Negeri Perak dibuka sepanjang masa?

Iklan kekosongan dibuka pada masa-masa tertentu tertakluk kepada keperluan jabatan. Pemohon hendaklah memohon jawatan dalam tempoh iklan dibuka.

 

3. Bagaimanakah untuk saya mengetahui bila iklan kekosongan jawatan penjawatan awam Negeri Perak dibuka?

Hebahan maklumat akan diwar-warkan laman sesawang rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Perak di http://spa.perak.gov.my dan melalui portal Kerajaan Negeri Perak di www.perak.gov.my. Selain itu, hebahan juga disebarkan melalui Laman Facebook dan Telegram Rasmi SPA Negeri Perak.

 

4. Bolehkah saya memohon jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk yang lebih rendah?

Boleh. Walau bagaimanapun, pemohon yang ingin memohon jawatan perlu memastikan mematuhi ketetapan one step lower seperti berikut:

i) Pemohon yang memiliki kelayakan akademik Ijazah Sarjana Muda / Ijazah Sarjana / Ijazah Kedoktoran hanya layak memohon jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk di peringkat ijazah Sarjana Muda sahaja.

ii) Pemohon yang memiliki kelayakan akademik Ijazah Sarjana Muda / Ijazah Sarjana / Ijazah Kedoktoran dan Diploma / STPM / STAM / Sijil Matrikulasi / Sijil Politeknik hanya layak memohon jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Diploma / STPM / STAM / Sijil Matrikulasi / Sijil Politeknik sahaja.

iii) Pemohon yang memiliki kelayakan akademik Diploma / STPM / STAM / Sijil Matrikulasi / Sijil Politeknik dan SPM / SVM hanya layak memohon jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk di peringkat Diploma / STPM / STAM / Sijil Matrikulasi / Sijil Politeknik dan SPM / SVM sahaja.

iv) Pemohon yang memiliki kelayakan akademik SPM / SVM dan PMR / PT3 hanya layak memohon jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk di peringkat SPM / SVM dan PMR / PT3 sahaja.

 

5. Saya telah memohon jawatan yang diiklankan, kenapa saya tidak dipanggil ujian / temu duga?

i) Tiada urusan pengambilan dijalankan ;

ii) Permohonan tidak dibuat di dalam tempoh iklan yang dibuka ;

iii) Pemohon tidak melepasi syarat yang ditetapkan dalam iklan atau dalam skim perkhidmatan bagi jawatan yang dipohon ; atau

iv) Pemohon tidak melepasi asas tapisan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya (Contoh : Bidang akademik dan gred mata pelajaran akademik).

 

6. Adakah saya akan disenaraihitamkan sekiranya tidak menghadiri Ujian / Temu Duga ?

Tidak.

 

7. Bolehkah saya menukar tarikh temu duga?

Tidak boleh.

 

8. Jika saya berjaya dalam temuduga, kemanakah saya akan ditempatkan?
Penempatan adalah di dalam Negeri Perak sahaja.